asas penciptaan alam semesta agama hindu dan agama buddha

January 8, 2018 | Author: Anonymous | Category: Seni & Humaniora, Religious Studies, Agama Buddha
Share Embed Donate


Short Description

Download asas penciptaan alam semesta agama hindu dan agama buddha...

Description

ASAS PENCIPTAAN ALAM SEMESTA AGAMA HINDU DAN AGAMA BUDDHA: KAJIAN PERBANDINGAN Norakmal Azraf Bin Awaluddin Jabatan Usuluddin dan Falsafah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia [email protected] Indriaty Binti Ismail Jabatan Usuluddin dan Falsafah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia [email protected] Abstrak Tulisan ini membincangkan mengenai asas penciptaan dalam agama Hindu dan agama Buddha. Secara umumnya asas penciptaan alam semesta yang dipercayai oleh agama Hindu berlandaskan kepada konsep ketuhanan sehinggakan Tuhan menyerapi setiap unsur alam semesta dan alam semesta adalah Tuhan (panteisme) dan kepercayaan kekuasaan kepada Tuhan yang lain (henoteisme). agama Buddha meletakkan asas penciptaan kepada konsep sebab dan akibat (patticasamupadda) sehingga menafikan kuasa ketuhanan dalam penciptaan alam semesta (ateisme). Objektif pertama tulisan ini adalah untuk menyingkap secara teliti asas penciptaan alam semesta agama Hindu dan agama Buddha. Objektif kedua adalah untuk membandingkan asas penciptaan yang dikemukakan oleh kedua-dua agama ini. Bagi menjawab segala objektif ini, penulis menggunakan metodologi pengkajian perpustakaan secara menyeluruh dengan menggunakan sumber autoriti dan sumber sekunder agama-agama yang dinyatakan. Kata Kunci: Asas Penciptaan, Brahma, Maya dan Sebab akibat (patticasamupadda) 1. Pendahuluan Menurut Brian (2008) doktrin atau teori penciptaan alam semesta mempunyai persamaan antara agama-agama seperti Islam, Kristian dan Yahudi. Sementara agama-agama lain seperti Hindu dan Buddha wujud jurang perbezaan yang menjadi hak eksklusif agama-agama ini mengikut sudut pandang dan kepercayaan mengenai konsep ketuhanan itu sendiri. Justeru, terdapatnya formula penciptaan yang berasaskan konsep creation ex nihilo, nihilo dan sebagainya yang bergantung pada asas kepercayaan utama sesebuah agama iaitu ketuhanan. Justeru, tulisan ini menyingkap berkaitan dengan asas penciptaan alam semesta dalam agama Hindu dan Buddha untuk melihat konsep asas dan perbezaan yang terkandung dalam kedua-dua agama ini.

2. Asas Penciptaan Agama Hindu Asas penciptaan berpaksikan ketuhanan yang bertindak sebagai Pencipta alam semesta. Terdapat tiga asas ketuhanan iaitu Tuhan Pencipta (Brahma), Tuhan Penjaga (Vishnu) dan Tuhan Pemusnah (Shiva) yang diberi nama (Trimurti). Sesuatu yang menjadi perbezaan dalam konsep ketuhanan agama Hindu Proceeding of the International Conference on Social Science Research, ICSSR 2013. 4-5 June 2013, Penang, MALAYSIA. e-ISBN 978-967-11768-1-8. Organized by WorldConferences.net 1369

adalah Trimurti dilimpahkan (emanate) oleh Tuhan yang Agung, Kekal dan sifatnya tidak aktif (saguna) iaitu Brahman. Menurut Durga (2004) Tuhan dijadikan oleh Tuhan yang lebih Agung. Menjadi kekeliruan masyarakat di luar agama Hindu bahawa agama Hindu mempercayai kepada kepelbagaian dalam ketuhanannya (politeisme) sehingga menjangkau jumlahnya 3 juta Tuhan. Namun, secara pemahaman sebenar yang dianuti oleh agama Hindu itu sendiri hanya ada satu kekuasaan yang mutlak dan ia adalah Brahman dan setiap daripada kewujudan sama ada Tuhan, dewa-dewa dan makhluk adalah berpunca daripada Brahman. Penulisan ini, hanya menumpukan kepada Tuhan Brahma kerana penganut agama Hindu dan pengkaji-pengkaji agama Hindu menganggapnya sebagai Tuhan Pencipta. 2.1 Brahma Menurut kitab Rig Veda, Brahma membawa maksud pemujaan, ritual penyembahan, pengetahuan yang suci dan formula ajaib. Seterusnya dalam kitab Upanishad, Brahma ditulis dengan perkataan Brahmavat iaitu yang memiliki formula ajaib dan brahma-varcasa iaitu pemilik yang berkuasa memiliki pengetahuan yang mulia. Perkataan Brahma ini juga sangat signifikan dengan kuasa yang terdapat di dalamnya pujaan, doa, formula suci dan juga pengetahuan suci. Apa sekalipun maksud yang terdapat dalam karyakarya agama Hindu, ia cenderung untuk menjurus kepada pemberian sifat Brahma sebagai asas alam semesta iaitu kuasa yang menciptakan dan menjaga alam semesta (Hume, 1968: 15). Asas penciptaan mempunyai dua paksi teori iaitu paksi penciptaan Tuhan sebagai Pencipta dan paksi penciptaan alam semesta yang diciptakan oleh Brahma. Paksi pertama adalah penciptaan Brahma oleh Tuhan Brahman. Penciptaan Brahma lebih bersifat mitos, lagenda, versi yang pelbagai dan tiada keselarian mengenai proses penciptaan-Nya. Kebanyakannya menceritakan Brahman mengalami kesunyian kerana sekelilingnya diselubungi kosong (asat). Justeru Brahman telah melimpahkan prinsip kreatif (Ishavara) atau Brahma daripada kosmik telur (egg cosmic). Digambarkan dalam telur tersebut, Brahma berkeadaan duduk (bermeditasi) selama 1 tahun ketuhanan (bersamaan 3110.4 bilion tahun manusia). Bermulanya penciptaan Brahma, maka bermula juga segala aktiviti penciptaan alam semesta, Dia adalah Sebab Efisien kepada semua penghasilan segala kewujudan di alam semesta (Nrusingh, 1991: 272-274). Dalam kitab Bhagavatam: Siapa yang mengatakan Hari (Vishnu), Hara (Shiva) dan Brahma iaitu si Penjaga, si Pemusnah dan si Pencipta kepada seluruh alam semesta tidak mengetahui apa-apa? Ketiga-tiga ini diciptakan oleh Tuhan Brahman: mereka bekerja mengikut apa yang telah dipertanggungjawabkan (buku 3, bab 5, 4: 131). Paksi pertama dalam teori kejadian alam semesta adalah penceritaan mengenai penciptaan Tuhan yang menjadikan teori kejadian alam agama ini bersifat mitos dan memberi rentetan kisah dan pengaruh kepada paksi kedua iaitu paksi penciptaan alam semesta yang diciptakan oleh Brahma yang bersifat logik, falsafah dan mitos. Pada awalnya kesemua kewujudan alam semesta dilahirkan sebagai Purusha iaitu prinsip kosmik yang bersifat jiwa, halus dan tiada bentuk fizikal (idea). Seterusnya Brahma sekali lagi bermeditasi di dalam telur kosmik selama beberapa tahun ketuhanan, lalu telah membahagikan telur ini kepada dua bahagian iaitu kerajaan langit dan kerajaan bumi yang mana telah diciptakan langit dunia sebagai pemisah kedua-dua kerajaan ini. Proses kejadian Tuhan adalah asas teori kejadian alam agama Hindu yang seterusnya telah menciptakan penciptaan awal alam semesta mengikut kehendak Brahma (Shivendra 2008). Dalam kitab Brihad-Aranyaka Upanishad (1.4.6): Kemudian Dia (Brahma) menggosok dan daripada mulutnya terjadi percikan api (yoni) dan gosokan di tangannya tadi menjadikan api (agni). Lalu apa-apa yang bersifat kelembapan suhu, Proceeding of the International Conference on Social Science Research, ICSSR 2013. 4-5 June 2013, Penang, MALAYSIA. e-ISBN 978-967-11768-1-8. Organized by WorldConferences.net 1370

dia menjadikan air mani dan itu adalah Soma iaitu makanan dan pemakan makanan. Oleh yang demikian, Brahma adalah pencipta yang berkuasa dengan menciptakan dewa-dewa, pembantunya. Sesungguhnya Dia mengetahui apa yang perlu diciptakan dalam tugasnya sebagai Pencipta alam semesta (Anandatirtha, 1916: 70) Seterusnya, dalam kitab yang sama (3.7.3), menyifatkan Brahma bukan sahaja Tuhan yang menjadikan tetapi Dia juga entiti yang dianggap Pengawal Dalaman (Inner Controller) atau Jiva. Sifat ini adalah sinonim kepada sifat Brahma yang akan menyerapi setiap elemen alam semesta apabila segalagalanya sudah lengkap diciptakan. Brahma adalah Pengawal Dalaman setiap makhluk di alam semesta, iaitu: Dia yang menetap di dalam tanah ini, dia bukan berasal dari unsur tanah, siapa yang tidak mengenal dia, siapa yang mengawal dan mengatur tingkah laku yang berada dalam unsur tanah ini. Ia adalah Jiwa kamu, Pengawal Dalaman dan Dia adalah kekal abadi (Anandatirtha, 1916: 115) Kepercayaan Brahma sebagai Tuhan Pencipta alam semesta, menggambarkan agama Hindu adalah agama teistik. Brahma memiliki sifat dan zat ketuhanan yang sempurna dan berkeupayaan untuk menyerapi elemen dan unsur alam semesta seperti pokok, manusia dan lain-lain makhluk untuk menjaga dan menjalankan alam semesta ini yang bertindak sebagai Pengawal Dalaman atau Jiva. Justeru itu kefahaman panteisme merupakan sebahagian dari sifat dan zat Brahma. Sebagaimana Brahman telah memindahkan kerahmatan dan kuasa penciptaan kepada Brahma, begitu juga Brahma menyerahkan tanggungjawab untuk menjalankan dan menggerakkan penciptaan alam semesta kepada satu kuasa ketuhanan yang lain dan sebahagian daripada zat Brahma itu sendiri iaitu Maya. 2.2 Maya Peranan Maya dalam asas teori ini kerana anggapan agama Hindu terhadap Brahma hanya sebagai Pencetus alam semesta yang memiliki kehendak. Analoginya seorang pembuat periuk tanah. Peranan Brahma hanya sebagai minda dan kehendak tukang pembuat yang mahu menghasilkan periuk tanah, manakala peranan Maya adalah sebagai si pembuat belanga tersebut yang melalui kudrat empat keratnya menggelek tanah sehingga menjadi periuk tanah. Dalam Kitab Bhagavad Gita menceritakan Maya sebagai: Untuk semua ini adalah kuasa kreatif, Aku yang menghasilkan semua juzuk alam semesta, ketuhanan dan ia sesuatu yang sukar untuk dijangkau sama sekali. Sesiapa yang patut mempercayai Aku seorang, seharusnya diletakkan kepada kuasa aku yang luar biasa (Maya) (Zaehner, 1969: 14). Maya merupakan kuasa penggerak alam semesta yang wujud dalam bentuk halus (subtle form), tidak berbentuk (formless) tetapi mutlak. Maya memiliki persamaan dengan Brahma iaitu abadi dan tidak berbentuk, namun Maya dikategorikan sebagai entiti yang tiada kehidupan (lifeless). Maya hanya sekadar kuasa dan tenaga yang bertindak untuk menggerakkan penciptaan alam semesta, tiada jasad dan tiada makan. Brahma mempunyai kehendak dan pemikiran yang mahu menjadikan alam semesta. Maya adalah tenaga yang menjadikan dan merealisasikan proses kejadian alam semesta. Ia tidak tertakluk kepada proses penciptaan sahaja, bahkan meliputi aktiviti penjagaan dan kemusnahan alam semesta. Setiap makhluk sama ada yang mempunyai kehendak atau tidak, akan tertakluk kepada batasan ruang dan masa. Jiwa (roh) sifatnya abadi walaupun jasad menjadi rosak. Kehidupan adalah Proceeding of the International Conference on Social Science Research, ICSSR 2013. 4-5 June 2013, Penang, MALAYSIA. e-ISBN 978-967-11768-1-8. Organized by WorldConferences.net 1371

hasil daripada perasaan mengenai kewujudan ‘saya’ (Tuhan). Kehidupan akan memberikan perasaan mengenai ‘saya’ (Tuhan), perasaan ini tiada wujud dalam Maya dan disebabkan itu Maya dianggap lifeless (Swami Prakashanand, 2001: 445). Peranan Maya mula wujud sejurus selepas Brahma berkehendak untuk menjadikan. Permulaan penciptaan alam semesta digelar sebagai penciptaan atau emanasi (srsti) dan kemuncak kepada alam semesta adalah kehancuran (pralaya). Penciptaan dan kehancuran alam semesta adalah hasil tuntutan tugas bagi Maya. Walaupun kekuasaannya boleh disalah ertikan sebagai Tuhan, tetapi Maya tidak dianggap sebagai Tuhan kerana ia sekadar sebahagian sifat dan zat Brahma serta Maya hanya sekadar tenaga yang menggerakkan alam semesta. Walaupun proses menggerakkan alam semesta ini terletak di bawah kekuasaan Maya namun segala perjalanan dan pergerakan alam semesta masih tertakluk kepada kehendak Brahma dan Maya tidak boleh membuat sesuatu luar dari kehendak Brahma. Sebagaimana yang telah dijelaskan, sesuatu yang tiada minda dan kehidupan seperti Maya adalah entiti yang tidak mungkin dan tidak boleh untuk merosakkan sistem ini (Nrusingh, 1991: 281). Maya tidak akan wujud tanpa kualiti di dalamnya. Kualiti atau sifat yang dimaksudkan adalah sattva, raja dan tama yang digelar sebagai rantaian Guna (Zaehner, 1969: 15). Agama Hindu mempercayai tiada makhluk atau kewujudan yang akan dapat terkeluar daripada interaksi hubungan sattva, tama dan raja. Hubungan ketiga-tiga kualiti ini seperti positif (sattva), negatif (tama) dan neutral (raja), lelaki, perempuan dan khunsa, hidup, mati dan kelahiran semula. Ketiga- tiga kualiti ini tersemat dan seimbang di dalam Maya dan menyeimbangkan hubungan yang berlaku dalam alam semesta (Swami Prakashanand, 2001: 148). Dalam Kitab Bhagavatam menyatakan berkenaan peranan guna, iaitu: Narada!, kamu lihat ketiga-tiga kualiti ini tiada akan bergerak secara sendirian dan tiada yang mampu membebaskan diri dari ketiga-tiga kualiti ini. Mereka akan kekal berdua (sattva dan tama) atau bertiga. Sattva tidak akan pernah wujud tanpa raja; raja tidak akan wujud tanpa tama; dan kedua-dua kualiti tidak akan wujud tanpa tama. Begitu juga tama tidak akan wujud tanpa sattva dan raja. Ketiga-tiga kualiti ini akan kekal bertindak secara bersama-sama (buku tiga, bab 8, 42-44: 149) 3. Asas Penciptaan Agama Buddha Memahami asas penciptaan agama Buddha, perlu terlebih dahulu memahami pandangan umum (worldview) agama Buddha mengenai alam semesta. Ini akan memberi gambaran mengenai persoalan mengapa tiada campur tangan ketuhanan yang diserlahkan dalam teori kejadian alam semesta agama Buddha? (Lynch, 2010: 1). Sebagaimana yang tercatat dalam kitab Dhammapada alam dunia dianggap sebagai lokavaggo. Keterangan adalah seperti berikut: Mari, lihat dunia ini ibarat kereta kuda diraja yang dicat cantik dan indah, Hanya orang yang bodoh sahaja yang akan tenggelam dengan itu tetapi, bagi yang bijak tiada apa-apa sumbangan dari kereta kuda itu (dunia). (Radhakrishnan, 1968: 118) Agama Buddha menegaskan manusia yang leka dengan nikmat dunia adalah manusia yang paling bodoh kerana tenggelam dengan nikmat dan urusan pengkajian dunia. Justeru, prinsip agama Buddha memandang alam semesta adalah sesuatu yang biasa, sekadar tempat tinggal dan sekadar kereta kuda, telah menjadikan agama Buddha tidak gemar untuk menyingkap perbincangan mengenai Proceeding of the International Conference on Social Science Research, ICSSR 2013. 4-5 June 2013, Penang, MALAYSIA. e-ISBN 978-967-11768-1-8. Organized by WorldConferences.net 1372

teori kejadian alam. Bagi agama ini, untuk apa mengkaji sesuatu yang tidak membawa faedah kepada manusia? Crutcher (2000) melihat agama Buddha mempunyai sistem pengkajian alam semesta dalam sudut pandangan yang berlainan. Baginya, agama Buddha telah mencapai satu tahap pengetahuan di mana alam semesta dilihat terlalu luas dan tidak meninggalkan apa-apa untuk dikaji, lalu mengambil pendekatan tidak perlu mengkaji alam semesta. Justeru itu, matlamat agama Buddha lebih menumpu kepada melakukan reformasi kuasa yang menggerakkan alam semesta. Dimaksudkan dengan mereformasi kuasa yang menggerakkan alam semesta adalah Prinsip Utama yang dipegang agama Buddha tidak meletakkan Tuhan sebagai kuasa penggerak tetapi sebab dan akibat. 3.1 Sebab Dan Akibat (Patticasamupadda) Mahathera (1971) konsep sebab dan akibat (patticasamupadda) agama Buddha telah menjadikan versi penciptaan alam semesta agama Buddha adalah versi yang unik. Bagi agama Buddha, tiada permulaan kepada penciptaan alam semesta, tiada doktrin yang disebut sebagai Sebab Utama atau Tuhan yang bertindak memberikan kekuasaan-Nya untuk menghasilkan penciptaan alam semesta. Setiap objek dan fenomena yang berlaku adalah hasil daripada kesan hubungan objek dan fenomena lain (simbiosis antara objek). Sebagai contoh, sebatang pokok tumbuh dengan adanya tanah, air dan udara yang mana kesemua ini adalah rantaian luar yang membantu proses pertumbuhan pokok tersebut. Proses perangkaian yang berlaku dalam penciptaan alam semesta ini akan sentiasa wujud dan kekal. Sebab dan akibat (patticasamupadda) adalah sebuah magnum opus kepada agama Buddha. Justeru, konsep ini adalah asas yang menjadi pegangan kepada agama Buddha dalam menjelaskan asas teori kejadian alam semesta. Di samping itu, konsep sebab dan akibat (patticasamupadda) turut dibincangkan dalam ruang lingkup dharma dan ia sesuai dengan imej agama Buddha yang gemar untuk mengaitkan semua doktrin kepercayaannya dengan dharma. Secara asas formula sebab dan akibat (patticasamupadda) adalah: Apabila ini wujud, wujud juga yang lain kerana ia berasal daripada yang pertama dan menumbuhkan yang lain. Apabila ini tidak wujud, tiada juga wujud yang lain kerana berhentinya ia, berhenti juga yang lain (Ames, 2003: 287). Konsep sebab dan akibat (patticasamupadda) adalah prinsip melahirkan sesuatu yang lain. Dengan adanya sebab pertama, melahirkan akibat yang pertama, tanpa sebab yang pertama tidak mungkin akibat yang pertama muncul. Di samping, prinsip ini menggambarkan semua fenomena yang berlaku di alam semesta saling bergantungan (karanahetu), telah ditetapkan bahawa sesuatu fenomena tidak akan boleh bergerak apatah lagi untuk muncul secara keseorangan (singularity) tanpa ada ketetapan lain yang menyokong ia muncul. Fenomena hanya berlaku kerana adanya kombinasi ketetapan yang menyokong kepada kemunculan sesuatu fenomena tersebut. Juga sebaliknya, jika kombinasi ketetapan ini sudah tidak lagi mampu bertahan, akan menghentikan fenomena tersebut. Patticasamupadda adalah cara yang logik untuk memahami alam semesta kerana selari dengan kehendak sains yang mana fenomena yang berlaku adalah hasil hubungan yang konsisten antara semua unsur alam semesta (Dhammanada, 2002: 158). Selain pengaruh luar yang memainkan peranan dalam sebab dan akibat, pengaruh idea atau dalaman juga memainkan peranan dalam proses sebab dan akibat. Ini dijelaskan oleh Takakusu (1947) sebagai dharma-dhatu iaitu merujuk kepada alam prinsip atau elemen kepada elemen (dalam falsafah Plato disebut sebagai alam idea). Dharma-dhatu merupakan kemuncak kepada semua teori sebab dan akibat kerana agama Buddha tidak sama sebagaimana sains Barat yang hanya meletakkan sebab berasal Proceeding of the International Conference on Social Science Research, ICSSR 2013. 4-5 June 2013, Penang, MALAYSIA. e-ISBN 978-967-11768-1-8. Organized by WorldConferences.net 1373

dari tindakan fizikal sahaja. Agama Buddha mempercayai sebab dan tindakan juga berasal daripada simpanan idea, tidak hanya berasal dari tindakan sesuatu yang bersifat fizikal. Bermakna agama Buddha meyakini bahawa unsur dalaman juga mempengaruhi konsep sebab dan akibat. Dharma-dhatu menjadi penyebab kepada semua kewujudan fenomena alam semesta atau boleh juga dikatakan sebagai penyebab kepada segala pengaruh tindakan yang dilakukan oleh makhluk dan kewujudan. Berdasarkan kepada beberapa pendapat di atas, menunjukkan konsep sebab dan akibat (patticasamupadda) terjelma melalui kualiti luaran dan juga kualiti dalaman sesuatu fenomena. Kualiti luaran adalah tanah liat, kayu, roda, tali, air dan pekerja yang mana kesemua kualiti luaran ini akan bekerjasama untuk menghasilkan sebuah belanga. Manakala kualiti dalaman digelar sebagai idea sebab dan akibat iaitu kebodohan, kehendak, tujuan kepada sebab dan akibat tersebut dan pendorong kepada sesuatu penciptaan mahu dijadikan. Kualiti dalaman adalah faktor pendorong kepada faktor luaran untuk menjadikan sesuatu fenomena. Ibarat kualiti dalaman ini adalah pemikiran kepada tukang pembuat belanga yang memikirkan cara bagaimana menghasilkan belanga (Smith, 1969: 287). Sebagaimana yang telah penulis tekankan di awal penulisan ini, agama Buddha akan mengaitkannya dengan etika manusia yang menjadi asas kepada proses sebab dan akibat berlaku. Jika pengaruh luar dikaitkan dengan fizikal luaran alam semesta yang bekerjasama menggerakkan alam semesta, pengaruh dalaman atau dharma-dhatu adalah pengaruh sikap dan etika makhluk yang sudah menjadi buruk dan kebodohan yang menjadi asas berlakunya sebab dan akibat. Oleh sebab itu, kepentingan konsep sebab dan akibat (patticasamupadda) dikaitkan dengan dharma yang berkaitan dengan etika dan moral. sebagaimana yang dikatakan oleh Sakyamuni: Wahai sami, sesiapa yang memahami konsep patticasamupadda akan memahami dhamma, orang yang memahami dhamma akan dapat memahami patticasamupadda (Gnanarama, 2000: 94). Petikan di atas yang saling menyamakan konsep patticasamupadda dan dharma kerana keduaduanya adalah doktrin penting. Sebagai contoh konsep Empat Kebenaran Mulia adalah berkaitan dengan penderitaan, sebab penderitaan, menghentikan penderitaan dan jalan yang membawa kepada kebebasan dari penderitaan. Manakala penderitaan, kesengsaraan dan sebagainya adalah pengaruh dalaman yang memainkan peranan dalam proses sebab dan akibat (patticasamupadda) (Gnanarama 2000: 94). Hubungan antara dharma, sebab dan akibat (patticasamupadda) seperti air dan empangan. Air yang melalui empangan mempunyai potensi untuk menghasilkan tenaga elektrik, proses pengaliran air telah menghilangkan potensinya sebagai air kepada agen penyalur aliran elektrik. Begitujuga dengan kewujudan dharma yang mempunyai pelbagai potensi bergantung kepada keadaan (Akira 1990: 179). Menjelaskan sebab dan akibat (patticasamupadda), Akira (1990: 179-181) telah membuat enam klasifikasi potensi sebab dan akibat, iaitu: i.

ii.

Karanahetu adalah penyebab yang menjadi sebab kewujudan yang lain iaitu merujuk kepada sebab yang penting. Dengan kata lain, semua dharma membantu dalam menghasilkan dharma yang lain. Sahabhuhetu atau penyebab serentak adalah dharma yang berkhidmat secara serentak menjadi sebab dan akibat, bergantungan dan bergabung antara satu dengan yang lain. Seperti tanah, air, api dan angin secara serentaknya muncul dalam molekul dan menghasilkan tenaga atau fenomena.

Proceeding of the International Conference on Social Science Research, ICSSR 2013. 4-5 June 2013, Penang, MALAYSIA. e-ISBN 978-967-11768-1-8. Organized by WorldConferences.net 1374

iii. iv.

v.

vi.

Sabhagahetu atau penyebab yang sama. Biji benih padi hanya akan menghasilkan tunas padi dan tidak mungkin menghasilkan tunas durian. Samprayuktakahetu atau penyebab yang seiring (concomitant cuase) adalah deskriptif hubungan yang seiring antara minda (citta) dan fakulti mental (caitasika) atau otak. Katogeri ini dilihat sebagai fasiliti dan pengguna fasiliti mesti sama untuk menghasilkan natijah yang harmoni. Kereta tugasnya adalah membawa pemandu, tetapi pemandu mahu menggunakan kereta untuk mengadun kek. Maka wujud kesan yang bercelaru dan tidak-seimbang. Sarvatragahetu iaitu alam semesta tidak semestinya bersifat harmoni dan seimbang, kuasa kekacauan juga boleh menjana sebab dan akibat, tetapi dalam bentuk keburukan. Sebagai contoh fenomena bencana alam semesta, agama Buddha melihat sebab kejadian bencana adalah kerana adanya kekotoran moral manusia yang menghasilkan akibat buruk iaitu kemusnahan (samsara). Vipakahetu atau penyebab penghasilan yang merujuk kepada sebab dan akibat adalah dua jenis yang berlainan. Sebagai contoh penyebab yang baik menghasilkan kesan yang baik. Penyebab yang buruk mendatangkan kesengsaraan. Sebab yang baik atau sebab yang buruk akan menghasilkan hukuman atau penghasilan (vipakaphala) bergantung kepada baik atau buruknya sebab. Dalam konteks ini, keseronokan atau penderitaan adalah penghasilan yang timbul apabila perbuatan dilakukan (vipakahetu).

Jelas Mahathera (1971), keseronokan, penderitaan atau samsara tidak sahaja merujuk kepada moral manusia tetapi juga adalah sistem kitaran atau agen penciptaan yang sentiasa berputar dalam alam semesta. Demikian itu, alam semesta bersifat dinamik dan proses penciptaan alam semesta tiada pengakhiran, berubah, kuasa yang bersifat bergantungan antara satu sama lain, faktor yang tidak abadi, statik, tidak luput, pembentukan sendiri atau kehendak sendiri. Sistem yang merencana kelangsungan alam semesta adalah samsara yang mana sifatnya kekal abadi. Penekanan agama Buddha kepada pemahaman konsep samsara adalah sangat penting, yang mana kegagalan memahaminya akan terjatuh kepada kesengsaraan dan keseronokan duniawi dan tidak akan dapat melarikan diri dari kitaran karma (Thich Nhat Hahn, 1999: 5). Bagi agama Buddha punca kesengsaraan adalah kebodohan yang melanda manusia itu sendiri. Kejahilan ini diwarisi dari kehidupan sebelum ini (Noss, 2008: 178). Terikatnya seluruh entiti alam semesta dengan samsara dan karma, menjadikan konsep sebab dan akibat (patticasamupadda) mempunyai signifikan sebagai asas penciptaan alam semesta dan asas doktrin kelahiran semula yang membelengu kewujudan makhluk tanpa jalan keluar kerana ikatan ini tidak boleh terurai melainkan dengan pencapaian tahap kerohanian yang tinggi (nirvana). Kesinambungan kelahiran semula yang tiada pengakhiran disebabkan samsara yang sentiasa wujud dan tidak berakhir sehingga memberi kesan pada kitaran yang wujud dalam proses proses sebab dan akibat (patticasamupadda) (Williams & Tribe, 2000: 64). Agama Buddha memiliki teori asas penciptaan yang unik kerana peranan penciptaan difahami dalam konteks sebab dan akibat (patticasamupadda). Setelah ditelusuri dengan detil, kepercayaan kepada peranan sebab dan akibat ini berasaskan kepada kepercayaan samsara yang menjadi tunjang dan agen kepada proses penciptaan alam semesta yang mana mempengaruhi konsep sebab dan akibat (patticasamupadda). 4. Analisis Perbandingan Hasil pengkajian penulis mendapati terdapat beberapa perbezaan antara asas penciptaan antara agama Hindu dan Buddha. Perbezaan pertama yang dilihat paling ketara dalam asas penciptaan alam semesta adalah konsep ketuhanan. Agama Hindu meletakkan Brahma adalah Tuhan Pencipta. Walaupun agama Hindu memiliki kefahaman mengenai sebab dan akibat, evolusi dan emansi dalam proses penciptaan Proceeding of the International Conference on Social Science Research, ICSSR 2013. 4-5 June 2013, Penang, MALAYSIA. e-ISBN 978-967-11768-1-8. Organized by WorldConferences.net 1375

tetapi segala aturan dan pentadbirannya tertakluk kepada kekuasaan serta kehendak Brahma (Wilson, 1972: 9). Di dalam kitab Svestasvatara Upanishad (6. 16) menggambarkan asas kepada proses sebab dan akibat masih ditunjangi Brahma iaitu: Tuhan adalah penyebab kepada lingkaran kelahiran dan kematian, penyebab kepada pembebasan, penyebab kepada kehidupan sementara dan keterbatasan hidup kita (Basu, 1916: 113). Berbezanya konsep ketuhanan agama Hindu dengan agama-agama teistik lain adalah kepercayaan Tuhan yang Maha Mutlak (Brahman) dengan Tuhan yang Mutlak (Brahma) dan yang memperanankan dalam proses penciptaan adalah Brahma dan Maya bukan Brahman. Agama ini masih meletakkan ketuhanan adalah asas penciptaan alam semesta. Pengelasan politeisme, monoteisme, panteisme ke dalam agama Hindu adalah biasa. Matthew (2007) meletakkan kelas lain kepada agama Hindu iaitu henoteisme yang mana fahaman kepercayaan kepada satu Tuhan tetapi mengakui kekuasaan Tuhan lain. Bagi penulis kelas henoteisme ini lebih sesuai berbanding istilah-istilah yang lain bagi agama Hindu merujuk konsep ketuhanan. Berbeza dengan agama Buddha yang berlandaskan idea dan logik serta mengangkat ‘Tuhan Pencipta’ adalah sebab dan akibat (patticasamupadda). Jika ditinjau mengenai konsep ketuhanan agama Buddha, ia sememangnya tidak jelas dan tidak tetap. konsep ketuhanan agama Buddha hanya menyanggah dan menafikan ketuhanan. Buddha menjelaskan kefahaman mengenai Tuhan yang dipercayai oleh agama Hindu sebagai kecelaruan. Konsep ketuhanan hanya buah fikiran manusia itu sendiri. Sebagai contoh, Tuhan dikatakan sebagai yang pertama lahir hasil dari memikirkan mengenai dirinya sendiri seperti “Aku adalah Brahma, Maha Berkuasa dan kewujudan adalah hasil dari-Ku. Konsepnya adalah “apabila aku memikirkan, maka jadilah ia dan hasil dari mental aspirasi Ku, semua kewujudan itu wujud”. Seterusnya dalam pandangan makhluk, memikirkan perkara yang sama iaitu “itu adalah Brahma, Maha Berkuasa dan kita semua dijadikan oleh Dia. Kerana kita melihat dia adalah yang pertama dan kita dijadikan selepas-Nya (Rhys, 1978: 9-10). Ia hanya buah fikiran sahaja. Kepercayaan kepada Tuhan adalah fatalisme berfikir dan ia wajar ditolak. Jika semua fenomena disebabkan Tuhan, maka ia tidak sepatutnya diarahkan kepada Tuhan kerana apakah perkara buruk yang berlaku di dunia ini seperti bunuh diri, perompak dan mencuri juga datangnya tindakan buruk ini dari Tuhan? Justeru, ini yang digelar sebagai salah faham mengenai tindakan Tuhan terhadap penciptaannya. Jika Tuhan adalah penyebab segala yang berlaku di dunia ini, apakah peranan manusia berusaha? (Thera, 1978: 21). Jika wujud Tuhan yang berkuasa memberi permintaan setiap dari manusia, Setiap dari kewujudan itu ada kerahmatan, kecelakaan, perbuatan baik dan buruk, Maka Tuhan diwarnai dengan dosa, Manusia melakukan tetapi mengerjakan apa yang diperintahkan (Thera, 1978: 23). Berdasarkan kepada kepercayaan agama Buddha yang menafikan ketuhanan dalam asas penciptaan alam semesta dan menggantikannya dengan sebab dan akibat (patticasmupadda), tidak keterlaluan meletakkan agama ini sebagai agama ateisme atau kelompok agama yang menafikan ketuhanan atau entiti yang bersifat dengan sifat ketuhanan. Walaupun Helmuth (1970) menyatakan agama Buddha mempunyai konsep ketuhanan yang berbeza dengan agama-agama lain dan perbezaan ini tidak bermakna agama Buddha tidak mempunyai konsep ketuhanan dalam doktrin utama meraka. Ini kerana, agama Buddha cuma tidak terlalu fokus membicarakan mengenai sesuatu realiti yang tidak Proceeding of the International Conference on Social Science Research, ICSSR 2013. 4-5 June 2013, Penang, MALAYSIA. e-ISBN 978-967-11768-1-8. Organized by WorldConferences.net 1376

boleh dilihat (Tuhan), jiwa, kehidupan selepas mati atau asal-usul alam semesta. Bagi penulis, dalam konteks asas teori kejadian alam semesta, agama Buddha adalah agama ateisme yang menafikan keberadaan Tuhan dalam proses penciptaan dan menggantikannya dengan konsep sebab dan akibat (patticasamupadda). Buddha selaku pengasas juga kelihatan meragui dan tidak berminat untuk membincangkan dan apatah lagi mahu mempercayai adanya Tuhan dalam proses penciptaan ini. Anggapan bahawa Tuhan hanya mengganggu keberadaan manusia untuk kekal bahagia dan mencapai pencerahan. Bagi Story (1972) agama Buddha meletakkan ketuhanan itu sendiri sebahagian dari konsep sebab dan akibat yang tertakluk kepada karma dan samsara. Justeru, jelas kepada penulis apabila agama Buddha meletakkan Tuhan menyamai makhluk dan termasuk dalam sebab dan akibat (patticasamupadda) yang mana jika begitu Tuhan turut merasai penderitaan dan kesengsaraan (samsara). Perbezaan kedua, agama Hindu mempercayai agen kepada penciptaan alam semesta adalah Maya yang mempunyai kualiti Guna. Brahma hanya bertindak memikirkan dan berkehendak penciptaan alam semesta dan Maya adalah agen penciptaan tersebut. Maya tidak dianggap Tuhan tetapi memiliki zat dan sifat ketuhanan iaitu kekal dan abadi. Membezakannya adalah Maya tiada kehidupan dan ia hanya sekadar tenaga. Justeru itu, jika diteliti, agama Hindu tidak meletakkan campur tangan lain sama ada manusia, pokok, tanah atau lain-lain dalam penciptaan alam semesta melainkan dengan kehendak Brahma dan Maya sahaja. Walaupun agama Hindu meletakkan konsep evolusi, emanasi dan sebab dan akibat dalam proses penciptaan dan penjagaan alam semesta, kehendak Brahma dan perilaku Maya adalah Sebab Utama yang mendasari proses-proses tersebut. Namun berbeza bagi agama Buddha, agen kepada penciptaan adalah samsara, iaitu segala perilaku yang terjadi menyebabkan berlakunya penciptaan alam semesta. Segala perilaku perbuatan, pemikiran dan perbualan yang menyebabkan berlakunya perkara negatif dianggap sebagai samsara. Hasilnya samsara memainkan peranan sebagai agen kepada penciptaan berlandaskan kepada sebab dan akibat (patticasamupadda). Untuk menjelaskan mengenai samsara sebagai agen, agama Buddha telah merangka Dua Belas Rangkaian Sebab dan Akibat atau twelve link, iaitu: i. ii. iii. iv. v. vi. vii. viii. ix. x. xi. xii.

Kebodohan (avijja) Pembentukan kerelaan (sankhara) Kesedaran (vinnana) Minda dan badan (namarupa) Enam pancaindera (salayatana) Hubungan deria (phassa) Perasaan (vedana) Ketagihan (tanha) Kehendak (upadana) Pembentukan (bhava) Kelahiran (jati) Usia tua dan mati (jaramarana) (Mahasi 1982: 10).

Dua Belas Rangkaian sebab dan akibat ini adalah bentuk penderitaan (samsara) yang sentiasa berlaku dalam kehidupan manusia dan entiti muka bumi yang mana menjadi agen kepada penciptaan alam semesta. Agen yang dimaksudkan di sini adalah sebab penciptaan berlaku dan agama Buddha mempercayai ia berasas dari samsara. Sejak awal lagi, penulis menyebut teori penciptaan agama Buddha tidak akan terkeluar dari ruang lingkup perbincangan mengenai moral. Sememangnya ini adalah Proceeding of the International Conference on Social Science Research, ICSSR 2013. 4-5 June 2013, Penang, MALAYSIA. e-ISBN 978-967-11768-1-8. Organized by WorldConferences.net 1377

‘topi’ bagi agama Buddha iaitu dharma. Berlandaskan kepada Dua Belas Rangkaian Sebab dan Akibat ini menunjukkan peranan manusia sepenuhnya sebagai punca dan asas kepada penciptaan alam semesta. Selagi mana manusia melakukan dosa, etika buruk dan kekejaman akan melahirkan samsara yang akan menjadi agen kepada sebab dan akibat (patticasamupadda) berfungsi menciptakan alam semesta. 5. Kesimpulan Agama Hindu tidak boleh dikatakan sebagai agama yang sama dengan agama Buddha. Walaupun perbezaan ini hanya satu aspek iaitu asas penciptaan tetapi impak kepada perbezaannya menjadikan agama Hindu sebuah agama ketuhanan yang berpegang kepada fahaman henoteisme dan agama Buddha adalah agama ateis yang memegang nilai etika adalah asas kepada semua jawapan masalah dan teori agama ini. Walaupun ada persamaan seperti penggunaan terma karma, samsara, pencerahan dan sebagainya, perlu diingatkan ia hanya sama dari segi terma umum penggunaannya tetapi pelaksanaan dan peribadatan dalam agama-agama ini tidak sama dan ia tertakluk kepada kepercayaan konsep asas penciptaan ini iaitu konsep ketuhanan. Selain itu, dalam agama Hindu peranan Tuhan adalah utama kerana Dia adalah pencipta dan semuanya adalah tertakluk kepada Tuhan. Manusia tidak langsung memainkan peranan dalam penciptaan alam semesta. Berlainan dengan agama Buddha yang meletakkan manusia memainkan peranan utama dalam penciptaan alam semesta kerana manusia sentiasa melakukan kerosakan, mengalami penderitaan dan akhirnya menerbitkan samsara. Sebagaimana yang telah dijelaskan, samsara adalah agen penciptaan dan tiada samsara tiada penciptaan. Oleh itu, manusia sememangnya peranan utama dalam proses penciptaan ini. ini sesuai dengan imej dan kelas kedua-dua agama iaitu henoteisme dan ateisme. 6. Rujukan Akira. Hirkawa. (1990). A History of Indian Buddhism from Sakyamuni to Early Mahayana. Terj. Paul Groner. Delhi: Motilal Banarsidass Publishers Private Limited. Ames, William L. (2003). Emptiness and Quantum Theory. In B. Alan Wallace (Eds). Buddhism & Science. (pp. 287). New York: Columbia University Press. Anandatirtha. (1916). Sris Chandra Vasu (terj). The Brihadranyaka Upanishad. Allahabad: The Panini Office, Bhuvaneswari. Basu, B.D. (1916). The Svetasvatara Upanishad. Siddhesvar Varma Shastri (terj). Allahabad: The Panini Office, Bhuvaneswari. Brian, Pitts, J. (2008). Why the Big Bang Singularity Does Not Help the Kalam Cosmological Argument for Theism. British Society for the Philosophy of Science. 59. 675-708. Crutcher, Richard R. (2000). Loka: The Buddha’s Formulation of the Universe. Ancient Tradition: Spirituality and Science in the Light of Vipassana Meditation. September 3-4. Amerika Syarikat: Vipassana Meditation Center, Dhamma Dhara. Dhammanada, K. Sri. (2002). What Buddhist Believe Expanded 4th Edition. Kuala Lumpur: Buddhist Missionary Society Malaysia. Durga Das Basu. (2004). The Essence of Hinduism 2nd Edition. Delhi: Asoke K. Ghosh. Gnanarama, Pategama. (2000). Essentials of Buddhism. Singapura: Pategama Gnanarama. Helmuth Von Glasenapp. (1970). Buddhism-A Non-Thesitic Religion With a Selection from Buddhist Scriptures. Imgard Schloegl (terj). London: Munich: Szczesny Verlag KG. Hume, Robert Ernest (terj). (1968). The Thirteen Principal Upanishad Translated From The Sanskrit. London: Oxford University Press.

Proceeding of the International Conference on Social Science Research, ICSSR 2013. 4-5 June 2013, Penang, MALAYSIA. e-ISBN 978-967-11768-1-8. Organized by WorldConferences.net 1378

Lynch, James David. (2010). An Argument Agains The Buddhist Concept of Dependent Orgination Through William Lane Craig ‘s Kalam Cosmological Argument. Liberty Baptist Theological Seminary. Mahasi Sayadaw. (1982). A Discourse on Patticasamuppada. U Aye Maung (terj). Burma: U Min Swe. Mahathera, Nyanaponika (Eds). (1971). Pathways of Buddhist Thought Essays From The Wheel. London: George Allen & Unwin Ltd. Matthews Warren. (2007). World Religions 6th Edition. United States of America: Wadsworth Cencage Learning. Noss, David S. (2008). A History of the World Religions. Pearson: Prentice Hall. Nrusingh Charan Panda. (1991). Maya in Physics. Delhi: Motilal Banarsidass Publishers Private Limited. Radhakrishnan S. (1968). The Dhammapada with Introductory Essays Pali Text. Madras: Oxford University Press. Rhys, Davids (terj). (1978). Digha-Nikaya No. 1: Brahmajala-Sutta. In Thera Nyanaponika (Eds). Selected Buddhist Texts From the Pali Canon. Vol 1 (pp. 9-10). Ceylon: Buddhist Publication Society. Story, Francis. (1972). Gods and the Universe in Buddhist Perspective: Essays on Buddhist Cosmology and Related Subjects. Sri Lanka: Buddhist Publication Society. Shivendra Kumar Sinha. (2008). Basics of Hinduism Especially Written for the Young Generation in a Simplified and Objective Manner. New Delhi: Unicorn Books. Smith, Huston. (1969). A Buddhist Bible. Tokyo: Massachusetts Institute of Technology. Swami Prakashanand Saraswati. (2001). The True History and The Religion of India A Concise Encyclopedia of Authentic Hinduism. Delhi: Motilal Banarsidass Publishers Private Limited. Swami Vijnanananda (terj). (1974). The Sri Mad Devi Bhagavatam. Allhabad: Sudindra Nath Vasu. Takakusu, Junjiro. (1947). The Essentials of Buddhist Philosophy. Delhi: Motilal Banarsidass Publishers Private Limited. Thera Nyanaponika. (1978). Angultara-Nikaya, Tika-nipitaka No.62. In Thera Nyanaponika (Eds). Selected Buddhist Texts From the Pali Canon. Vol 1 (21-23). Ceylon: Buddhist Publication Society. Thich Nhat Hahn. (1999). Heart of the Buddha's Teaching Transforming Suffering into Peace, Joy & Liberation: The Four Noble Truths, The Noble Eightfold Path, and Other Basic Buddhist Teachings. New York: Broadway Books. Wilson, H.H. (terj). (1972). The Vihsnu Purana A System of Hindu Mythology and Tradition. Calcutta: Punthi Pustak. Williams, Paul & Tribe, Anthony. (2000). Buddhist Thought A Complete Introduction to the Indian Tradition. London: Routledge. Zaehner, R.C (terj). (1969). The Bhagavad-Gita. London: Oxford University Press.

Proceeding of the International Conference on Social Science Research, ICSSR 2013. 4-5 June 2013, Penang, MALAYSIA. e-ISBN 978-967-11768-1-8. Organized by WorldConferences.net 1379

View more...

Comments

Copyright � 2017 NANOPDF Inc.
SUPPORT NANOPDF